Kata orang yang arif, “jadilah orang yang baik, nanti kebaikan akan datang kepada kita.” Segala kebaikan akan datang kepada kita seperti besi yang tertarik kepada magnet. Sebab itu sering diperkatakan orang, jika kita murah dengan senyuman, kita akan murah rezeki.
Dalam rumah tangga pun begitu juga. Jadilah pasangan yang baik. Insya-Allah kita akan menarik segala kebaikan untuk diri kita dan seluruh ahli keluarga. Baik tutur kata, manis senyuman dan mudah memberi kebaikan, itulah nanti akan menawan hati pasangan kita.
Pada diri manusia ada daya tarikan yang saling berhubung dengan daya tarikan manusia lain. Maksudnya, jika kita positif dan orang lain juga positif, maka kita akan mudah tertarik dan berhubung dengann harmoni. Pepatah lama mengatakan, burung yang sama bulu kepak dan warnanya akan terbang sekawan. Keceriaan kita akan menarik orang yang ceria untuk bersama kita. Keceriaan itu mudah ‘berjangkit’. Orang yang ceria sering dilingkungi oleh individu, situasi dan keadaan yang ceria juga.
Suasana yang semacam itulah yang akan membahagiakan cinta dalam rumah tangga. Bila kita ceria, fikiran, tindakan, perasaan dan kata-kata kita juga akan turut ceria. Percayakah anda kalau dikatakan untuk mudah belajar, bekerja dan melakukan apa jua aktiviti dengan lebih baik dan berkualiti maka keceriaan itulah yang menjadi syaratnya? Ada hormon endroomorphin yang akan dirembeskan dalam tubuh orang yang ceria.
Cinta tidak dapat diraih dengan ugutan dan ancaman. Ia soal hati yang memberi dan menerima dengan rela. Cinta tidak boleh dipaksa. Gelombang cinta bergerak dalam susunan rasa indah bagaikan satu simponi pada satu gubahan ‘muzik’ yang sinergi dan harmoni. Mainkan muzik cinta itu… ia akan datang dengan senyuman, sentuhan dan pandangan mata yang penuh indah dan berwarna-warni. Sungguh indah!
Bila suami hendak pulang ke rumah, sediakanlah set minda (mind set) yang betul sebelum masuk ke rumah lagi. Niatkan dalam hati ingin menceriakan hati isteri yang di rumah. Betapa besar sekalipun masalah kita di permusafiran atau di tempat kerja, leraikanlah dahulu. Jangan hanya memikirkan masalahnya sahaja yang besar, masalah isteri di rumah pun adakalanya lebih besar dan mencabar daripada masalah suami di luar rumah.
Begitu juga isteri di rumah, menjelang kepulangan suami, tenangkan hati, katakana kepada diri sendiri, “suami ku akan pulang. Aku akan menceriakan kepulangannya dengan memahami, simpati dan empati terhadap segala masalahnya.” Orang yang hanya merasakan bahawa masalahnya sahaja yang besar, peranannya sahaja yang penting dan bebannya sahaja yang berat… sebenarnya adalah orang yang ego.
Oleh itu, ayuh… berilah ransangan yang positif. Kuatkan kembali daya tarikan dalam cinta kita. Dan dalam menabur bibit kebaikan, jangan mengharapkan hasil yang segera, jangan dicemari racun prasangka dan paling penting jangan lupa untuk berdoa. Kembalikanlah daya tarikan dalam hubungan cinta. Bukankah simponi cinta itu indah? Tetapi jika tidak ada lagi keindahannya… tanyakanlah kepada diri kita, suami atau isteri kita… apakah itu masih cinta?
No comments:
Post a Comment