Thursday, February 10, 2011

MANFAATKAN WAKTU MALAM ANDA SEBAIKNYA

Pada waktu malam adalah peluang terbaik untuk seluruh seisi keluarga bermesra, melakukan aktiviti bersama dan berbincang. Kita sepatutnya mengamalkan kembali tradisi orang tua kita dahulu, setiap orang perlu pulang dan berada di rumah sebelum waktu Maghrib.

Bapa mempunyai tanggungjawab berat membimbing ahli keluarga mengikut jalan yang diredha oleh Allah SWT. Tanggungjawab memimpin keluarga perlu dilaksanakan sebaik-baiknya.

Kebiasaan sikap ibu bapa yang suka keluar malam turut diikuti anak-anak. Anak juga merasakan ingin mencari keseronokan di luar rumah pada waktu malam. Suasana gelap dan sunyi memudahkan untuk melakukan perbuatan tidak senonoh dan menyalahi undang-undang.

Sesetengah ibu bapa keluar malam untuk mencari pendapatan tambahan, sedangkan selebihnya sekadar untuk bersuka ria. Perbuatan ini banyak dilakukan oleh bapa. Bapa yang keluar rumah tanpa keperluan munasabah membuktikan dirinya bapa dan suami yang tidak bertanggungjawab.

Kempen rumahku syurgaku perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak. Keluarga adalah lambang kebahagiaan hidup. Hargailah waktu malam yang damai dan aman untuk beristirehat atau jika berkeupayaan, jadikan sebagai waktu untuk beribadat. Adalah lebih selamat dan aman pada waktu malam kita berada di rumah.

Waktu malam di luar rumah sebenarnya seram, ganas, melalaikan dan maksiat. Berada di luar rumah pada waktu larut malam mendedahkan kita kepada kejadian buruk. Renung-renungkan.


sumber :sahabatInteraktif@yahoogroups

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...